Monday, May 09, 2011

"Nur Kasih The Movie" Rentap Perasaan Peminat

Here's my Nur Kasih The Movie review as translated by GUA :

Lupakan apa saja yang telah dihebohkan dan digembar-gemburkan oleh filem tempatan yang lain! Terkini, "Nur Kasih The Movie", filem yang dijangka menerima sambutan hangat penonton tahun ini akan mula ditayangkan mulai 19 Mei ini di seluruh Malaysia dan Brunei. Drama bersiri tersebut berjaya mencetuskan fenomena dua tahun lalu ketika ia ditayangkan di TV3 apabila berjaya menarik minat lebih 19 juta penonton, sekaligus mengubah persepsi penonton mengenai industri penyiaran tempatan.

Pelakon-pelakon yang membintangi drama bersiri ini, terutama sekali Tiz Zaqyah selaku pendukung utama wanita berjaya melonjakkan namanya sekelip mata sahaja seiring dengan kejayaan drama tersebut yang sentiasa menjadi topik perbualan hangat sehingga apabila kemuncak drama ini ditayangkan. Ini jelas terbukti, di ‘catch-up videos’ di laman web www.tv3.com.my, ia telah dilawati lebih 64 juta pengunjung! Iya, Seramai 64 juta penonton yang telah mengikuti drama bersiri arahan Khabir Bhatia ini menerusi online.

Lupakan tentang drama, ayuh kita bercerita tentang filemnya pula!

Sebelum saya meneruskan ulasan saya, perlu saya jelaskan kepada anda yang saya telah dicemburui oleh ramai orang apabila diberitahu yang saya sudah pun menonton “final cut” filem Nur Kasih The Movie ini. Peminat fanatik drama ini telah menberi amaran kepada saya supaya jangan terlalu panjang lebar mengulas plot filem itu. Mereka berkata “tak syoklah kalau dah tau”. maka, ulasan filem ini akan saya cerita sedikit sahaja tanpa merosakkan keseronokan dan ‘feel’ anda ketika menonton kelakber.

Sebenarnya filem ini adalah rentetan atau sambungan drama bersiri Nur Kasih yang telah tamat ditayangkan. Cerita ini berkisar mengenai konflik percintaan tigasegi diantara Nur Amina (Tiz Zakyah), dan adik beradik, Aidil (Fizz Fairuz) dan Adam (Remy Ishak). Seperti yang kita tahu, Adam berkahwin dengan Nur demi memenuhi permintaan ayah Adam yang sedang sakit, dan dalam masa yang sama abangnya, Aidil menyimpan perasaan terhadap Nur.

Perwatakan Adam yang agak kasar menyebabkan dia tidak melayan Nur dengan baik. Tetapi keadaan berubah apabila Adam menemui sinar baru dalam hidupnya. Perkahwinan yang kembali indah berubah dek kerana Nur diuji dengan berita kehilangan Adam yang dipercayai meninggal dunia di luar negara. Drama “happy ending” ini ternyata tidak menghampakan peminat siri Nur Kasih ini. Jelasnya, di akhir episod drama ini, Adam masih hidup dan pulang ke pangkuan Nur, dan dan mereka berdua hidup bahagia selamanya.



Adakah kemuncak drama bersiri itu tetap sama di dalam filem?

Babak ketika perlanggaran keretapi di sebuah negara di Timur Tengah pada lima minit pertama permulaan filem ini bisa merungkai dan membongkar plot yang amat penting. Dalam waktu yang sama, Emosi penonton bakal terpukul ketika babak Aidil yang kehilangan isteri kesayangannya Aliya (Ayu Raudah). Sebab kematian Aliya tidak ditonjolkan serta-merta tetapi dijelasnya menerusi visual yang Aidil sedang menderita dalam kesedihan yang teramat atas kematian Aliya.

Dalam masa yang sama, Adam dan Nur sedang menjalani kehidupan yang bahagia walaupun mereka belum lagi dikurniakan cahaya mata. Masa mereka banyak terisi di rumah perlindungan kanak-kanak termasuklah kehadiran seorang remaja lakonan Sara Ali dengan jelasnya mempunyai perasaan terhadap Adam. Dan ketika Nur menerima berita gembira tentang kehamilannya, pasangan ini merasa amat bahagia.

Plot diteruskan dengan Adam dan Nur yang kemudiannya berhijrah ke Jordan kerana ingin bertukar angin dan bercuti. Di plot ini, kita boleh lihat apa yang sebenarnya terjadi di sebalik kejadian keretapi itu (plot permulaan) dan akibat dari perlanggaran tersebut.

Kembali ke babak di Kuala Lumpur, Aidil masih bergelumang dengan kesedihan. Sesiapa yang menonton pasti akan simpati melihat keadaan Aidil terutama sekali adegan ketika seorang anak kecil (lakonan Mia Sara) membuat pengakuan pelik tentang arwah ibunya. Tetapi bagi seorang yang cukup tabah, Aidil meneruskan kehidupannya dan turut bertanggungjawab membantu kanak-kanak dan remaja di rumah perlindungan sewaktu ketiadaan Adam dan Nur.

Sekali lagi, saya tidak akan menjadi perosak keadaan, tetapi apa yang saya boleh beritahu kehidupan Adam dan Aidil berada dalam situasi yang terancam. siapa yang akan mati? Siapa yang akan terselamat? Nak tahu, kena tengoklah nanti. Ok?


Apa yang saya boleh katakan di sini, saya betul-betul enjoy dengan filem ini. Para pelakon mempunyai keserasian dan amat selesa di antara satu sama lain di dalam setiap adegan. Lakonan mereka amat ‘natural’ dan tidak kekok. Tidak hairan sekiranya dialog-dialog dalam filem ini akan menjadi topik hangat di setiap status peminat siri Nur Kasih di laman Twitter mahu pun Facebook.

Diarahkan oleh Khabir Bhatia, kehebatan cerita ini memang tidak boleh disangkal lagi. Drama bersiri yang dahulunya hanya dinikmati di kaca TV kini beralih ke layar perak. Keseronokkan menonton di medium yang lain adalah satu pengalaman yang sangat berbeza. Ia terbukti dengan visual yang cukup menarik perhatian sewaktu pasangan berada di Jordan, jalan ceritanya nampak amat realistik, mengagumkan dan sangat lancar. Babak di pemandangan kehijauan lambaian jelapang padi di Malaysia, bisa membuatkan anda tenang dan aman.

Muzik latar yang digunakan juga cukup memberangsangkan hasil sentuhan Hafiz Hamidun. Sarat dengan adegan yang dramatik, ternyata membangkitkan lagi keunikan dan keistimewaan filem ini. Dan siapa sangka cerita cinta epik tempatan seperti ini akan menjadi kenangan yang sentiasa tersemat dalam ingatan setiap penonton filem ini.


Cuma ada sedikit kekecewaan di bahagian CGI (ya, kesan khas yang sebenar) yang tidak berapa menyengat berbanding adegan lain yang sememangnya menyeronokkan. Dan kepada penonton yang sebelum ini tidak pernah mengikuti perjalanan drama bersiri Nur Kasih di televisyen, mungkin akan tertanya-tanya ketika menonton di permulaan plot. Tetapi jangan risau, garapan cerita yang tersusun dan kemas sehingga ke hujung cerita, mampu membuatkan anda faham jalan cerita filem ini.

Dan ya, saya percaya Nur Kasih The Movie (ditayangkan pada 19 Mei 2011) akan mengegarkan pawagam anda dan dijangka akan mencapai tahap ‘box office’ setanding filem hebat yang lain. Bukan disebabkan peminat siri Nur Kasih yang sudah sememangnya ramai, tetapi kerana filem ini sememangnya sangat bagus. Jadi jangan lepaskan peluang menonton filem di pawagan anda yang berdekatan.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin